Isnin, 16 Januari 2012

PANTUN EMPAT KERAT (MUAFAKAT)

PANTUN EMPAT KERAT (MUAFAKAT)
[Penulis: Zailiani Taslim]
MAKSUD
RANGKAP 1:
Kesungguhan bersama-sama menghadapi susah dan senang akan membawa kejayaan.

RANGKAP 2:
Manusia akan bersatu padu apabila bermuafakat.

RANGKAP 3:
Sikap bekerjasama dan bergotong-royong perlu menjadi amalan bagi menjamin kebahagiaan hidup.

RANGKAP 4:
Negara akan damai dan kehidupan rakyat akan aman sejahtera sekiranya nilai bermuafakat diberikan keutamaan.

RANGKAP 5:
Persefahaman akan berkekalan dalam kalangan anggota masyarakat sekiranya mereka berpegang pada sikap saling mempercayai.

RANGKAP 6:
Perpaduan akan dapat diperkukuh andainya sikap tolak ansur dan hormat-menghormati diamalkan

TEMA
Tema pantun ini ialah amalan bermuafakat dan kerjasama dalam masyarakat akan membawa kesejahteraan.

PERSOALAN
(a) Pentingnya bersama-sama dalam keadaan susah mahupun senang.
(b) Kepentingan kesepakatan hidup bersama.
(c) Sikap saling mempercayai dalam mengekalkan kesepakatan.
(d) Pentingnya mempraktikkan amalan gotong-royong.
(e) Sikap bertolak ansur dan hormat-menghormati mengukuhkan perpaduan.

BENTUK
(a) Bentuknya terikat.
(b) Pantun ini terdiri daripada enam rangkap.
(c) Pantun ini berisi empat baris serangkap.
(d) Pantun ini ada pembayang (baris pertama dan kedua) dan ada maksud (baris ketiga dan keempat).
(e) Bilangan katanya tiga hingga lima patah kata sebaris.
(f) Setiap baris pantun ini terdiri daripada sembilan hingga lima belas suku kata sebaris.
(g) Rima akhir pantun ini ialah a,b,a,b

UNSUR BUNYI
Asonansi – pengulangan bunyi vokal (a,e,i,o,u)
Contohnya: Usaha bersama membawa bahagia (pengulangan vokal a)

Aliterasi – pengulangan bunyi konsonan
Contohnya: Indah sungguh warna pelangi (pengulangan konsonan n)

GAYA BAHASA
(a) Anafora – pengulangan kata pada awal baris
Contoh: Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.

(b) Repetisi – pengulangan kata
Contoh: Hidup muafakat hidup bahagia.

(c) Imej alam – penggunaan unsur alam semula jadi
Contoh: pelangi, senja, lurah, buah salak, paya, kangkung, beras, sawah padi, bunga
melati.

(d) Peribahasa
Contoh: Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.

(e) Responsi – pengulangan kata pada tengah-tengah baris
Contoh: Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.

NILAI
(a) Muafakat
Contoh: kesepakatan dalam kalangan masyarakat membawa kepada kehidupan yang sejahtera.

(b) Bekerjasama
Contoh: sikap sentiasa bekerjasama memudahkan pekerjaan yang kita lakukan bersama.

(c) Bertolak ansur
Contoh: rakyat yang mengamalkan sikap bertolak ansur akan menjamin kedamaian seebuah negara.

(d) Saling mempercayai
Contoh: persefahaman yang berkekalan akan wujud sekiranya masyarakat saling mempercayai antara satu sama lain.

(e) Hormat-menghormati
Contoh: Masyarakat yang berbilang kaum sentiasa diseru agar saling menghormati akan kesejahteraan bersama akan wujud dan berkekalan.

(f) Perpaduan
Contoh: Semua ahli masyarakat haruslah bersatu hati demi mengekalkan keharmonian hidup bermasyarkat.

PENGAJARAN
(a) Kita hendaklah bersama-sama menghadapi saat semasa susah ataupun semasa senang.
(b) Anggota masyarakat hendaklah mengutamakan permuafakatan.
(c) Kita perlulah mengutamakan sikap bergotong-royong demi kepentingan bersama.
(d) Kita perlulah saling mempercayai antara satu sama lain.
(e) Kita hendaklah bersikap toleransi agar perpaduan dapat diperkukuh.
(f) Kita hendaklah mengamalkan sikap hormat-menghormati demi kesejahteraan hidup bersama.

KOMSAS 1 - PANTUN EMPAT KERAT (MUAFAKAT)

PANTUN EMPAT KERAT (MUAFAKAT)
Zailiani Taslim

Indah sungguh warna pelangi,
Tidak luput hingga senja;
Ke lurah sama diharungi,
Usaha bersama membawa bahagia.

Buah salak di dalam kantung,
Kulitnya keras isinya kelat;
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.

Turun ke paya memetik kangkung,
Hati-hati terkena getahnya;
Bergotong-royong penduduk sekampung,
Hidup muafakat hidup bahagia.

Beras segantang sudah disukat,
Lalu disimpan di atas para;
Andai seluruh masyarakat muafakat,
Negara damai rakyat sejahtera.

Sawah padi luas terbentang,
Kuning keemasan indahnya nyata;
Percaya-mempercayai asas berpegang,
Barulah muafakat kekal selamanya.

Harum sungguh bunga melati,
Hiasan sanggul amat memikat;
Bertolak ansur, hormat-menghormati,
Mengukuhkan perpaduan ikatan muafakat.

Koleksi Pantun Berjimat cermat, 2007
Edu Tech Publisher